SEJARAH AWAL RAUB

Raub adalah salah sebuah dari 11 buah daerah yang terdapat di Pahang. Daerah Raub terdiri daripada tujuh buah mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali dan Tras. Raub mempunyai lebih kurang 37 buah kampung tradisional dan 9 buah kampung baru Cina . Raub berlokasi di sebelah barat negeri Pahang dan keluasannya ialah 2,271 kilometer persegi, iaitu 6.34% dari keluasan Pahang (35,823 kilometer persegi). Raub terletak di antara dua banjaran, iaitu Banjaran Utama dan Banjaran Gunung Benom. Ketinggian Raub adalah 160 meter dari atas paras laut dengan purata suhu tahunan 79.5º dan hujan tahunan kira-kira 200 sentimeter. Jarak Raub dengan Kuala Lumpur hanya 130 kilometer dan hanya mengambil masa 1½ jam untuk sampai ke pekan kecil ini melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak.

 

SEJARAH RAUB PAHANG

Menurut kepercayaan orang-orang tua daerah ini, Raub telah diteroka dan dibuka dalam kurun ke 18. Mengikut sumber-sumber yang diperolehi, dua orang pemuda bersama ayah mereka telah melalui hutan rimba serta menyusuri sebatang anak sungai. Setelah sekian lama mengembara mereka sampai ke tebat atau tebatan (satu kawasan di mana pengaliran air sungainya tersekat atau digelar empang).

 

LATAR BELAKANG RAUB

Sebaik sampai di situ, si ayah mengatakan kepada anaknya, di situlah tempat yang paling sesuai untuk berehat. Pasir terdapat di kiri dan kanan tebatan itu serta kelihatan amat bersih. Kedua dua pemuda itu bersetuju dengan cadangan ayah mereka. Mereka pun mula membuka kawasan itu. Sekitarnya dibersihkan lalu didirikan sebuah pondok untuk kediaman mereka. Setiap hari ketiga-tiga beranak itu memasuki hutan untuk mencari rotan, damar, getah, jelutung dan sebagainya.

 

Mereka juga memetik pucuk dedaun yang begitu subur berhampiran tebatan untuk dijadikan makanan. Segeralah ketiga beranak itu meraup pasir-pasir di tebing tebatan itu dengan tangan masing-masing. Setiap kali diraup, setiap kali emas diperolehi. Disebabkan emas begitu banyak dan terlalu mudah untuk mendapatkannya, hanya menggunakan tangan untuk meraup, adalah dipercayai mereka menamakan tempat itu dengan gelaran "RAUB".

Sejak itu setiap hari mereka terus meraup emas. Kawasan tebatan yang pertama mengeluarkan emas tadi, sekarang ini ialah di Padang Besar Majlis Bandaran Daerah Raub. Begitulah mengikut cerita lisan orang tua di daerah ini. Bagaimanapun, jika gelaran nama Raub lahir daripada kerja meraup emas tadi, sedikit perbezaan timbul dari segi ejaan. Perkataan meraup emas lahir dari kata dasar "RAUP" sedangkan ejaan sekarang adalah "RAUB". Namun begitu, kemungkinan bahasa daerah itu lebih sesuai digunakan dengan ejaan "RAUB" dari "RAUP".

(Sumber:Portal Rasmi Majlis Daerah Raub)